Friday 30 March 2012

Kenapa Manusia Melakukan Dosa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Dalam kalangan manusia ada yang ingkar kepada Allah ada pula yang taat melaksanakan tugasnya sebagai hamba Allah, sedangkan malaikat pula semuanya sentiasa taat kepada Allah.

Mengapa kedua-dua makhluk ini berbeza sedemikian rupa? Ini disebabkan manusia mempunyai nafsu sedangkan malaikat pula tidak memiliki nafsu.

"Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah Yusuf : 53)

Tanpa nafsu dalam diri manusia maka jadilah manusia itu sebagaimana malaikat, yang tidak pernah melakukan dosa. Sememangnya Allah mentakdirkan setiap manusia itu tidak pernah lepas daripada kesilapan, kerana Allah ingin melihat hamba-Nya sujud kepada-Nya memohon keampunan dan bertaubat.

Sesungguhnya manusia yang baik itu bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan dosa atau kesilapan, tetapi manusia yang baik adalah manusia yang apabila dirinya melakukan sesuatu dosa, sama ada sengaja atau pun tidak, sama ada diketahuinya atau pun tanpa pengetahuannya, maka dia segera bertaubat kepada Allah.

"Dan orang yang apabila melakukan perbuatan buruk, atau menganiaya diri sendiri, mereka mengingati Allah lalu memohon ampun dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah? Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui." (Surah Ali Imran : 135)

Nabi Muhammad pernah berkata,

"Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan ialah orang yang bertaubat" (Direkodkan oleh at-Tirmizi)

Oleh itu, kita perlu bersikap optimis dan tidak mudah berputus asa terhadap rahmat Allah apatah lagi menyalahkan-Nya yang menciptakan nafsu dalam diri manusia.

Ibnu Rajab Al-Hanbali yang meninggal dunia pada tahun 795 Hijrah, menyatakan dalam kitabnya Lathaif Al-Maarif,

"Sesungguhnya termasuk hikmah Allah adalah Dia menjadikan sebahagian hamba-Nya terkadang jatuh dalam lembah dosa, dan hal itu memiliki dua faedah :
Pertama : Pengakuan dosa dan kelalaian mereka dalam menunaikan perintah-Nya menghilangkan penyakit ujub daripada diri mereka. Hal ini lebih dicintai oleh Allah daripada ketaatan yang banyak tetapi kerapkali membuat pelakunya merasa ujub dengan amalnya.
Kedua : Meraih keampunan dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, kerana Allah suka mengasihi dan mengampuni. Di antara nama-nama Allah adalah Al-Ghaffar (maha pengampun), Al-Afuw (maha pengasih), At-Tawwab (maha menjadikan hamba-Nya bertaubat dan maha menerima taubat)."

Di dalam kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin, Ibnu Qudamah berkata,

"Nafsu jiwa tidak diciptakan melainkan kerana ada faedahnya. Andaikata tidak ada nafsu makan, tentu manusia tidak mahu mencari makan. Andaikata tidak ada nafsu seksual, keturunan terputus. Yang tercela adalah nafsu yang berlebih-lebihan dan melampaui batas."


Apabila kita melihat diri kita tidak pernah melakukan salah dan silap, dosa dan noda, maka sedarlah! Apabila Allah mampu menghijab aib dan dosa seorang itu daripada pandangan orang lain, maka tidak mustahil juga bagi Allah menghijab dosa itu daripada pandangan kita sendiri.

Hal ini mudah apabila syaitan menghiaskan kejahatan itu sehingga menjadi cantik pada pandangan pelakunya dan mereka akhirnya terhalang daripada jalan yang benar kerana hanyut dengan kesesatan mereka.

[PESANAN BUAT DIRI]


"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan taat) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah kulakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau."

~ rasa tenang bila jiwa rindukan taubat ~

No comments:

Post a Comment